Khamis, 5 November 2009

Polisi NAP...baik @ buruk?

**Note : Petikan ini diambil dari blog Mohammad Khir Toyo (ex-MB Selangor).

Kereta Lama, Peraturan Baru
1. Keputusan kerajaan mewajibkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan alasan untuk mengelakkan kemalangan menimbulkan suasana yang kurang senang dari kalangan masyarakat.

2. Dalam Bajet 2010 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan mulai 1 Januari tahun depan, semua kenderaan penumpang berusia 15 tahun ke atas wajib membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.

3. Ada dua alasan yang dapat saya garap dari kenyataan beberapa pemimpin negara:


A. Ia sebahagian langkah baru yang diperkenalkan di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan

B. Ia untuk memastikan kenderaan di atas jalan raya berada dalam keadaan yang selamat dan sesuai.

4. Alasan pertama tersebut jelas sekali tidak memikirkan kepentingan rakyat banyak tetapi hanya mengutamakan penjual kereta. Ini akan memberi kesan imej yang tidak baik kepada kerajaan. Seolah-olah kerajaan ingin memaksa rakyat menukar kereta baru setiap lima belas tahun.

5. Mungkin di beberapa negara maju ia boleh dilaksanakan. Namun dalam konteks di Malaysia ada yang berhutang sehingga 9 tahun untuk membeli sebuah kereta. Apakah mereka perlu dibebankan dengan satu lagi hutang kereta enam tahun selepasnya?

6. Demikian juga isu untuk menjaga tahap keselamatan kereta dengan mewajibkan pemeriksaan Puspakom.

7. Ramai rakyat tertanya apakah pemeriksaan Puspakom dapat menjamin tahap keselamatan kereta atau sekadar satu lagi cara agensi tersebut membuat wang.

8. Apakah tidak mustahil nanti kita tetap akan melihat kereta yang sudah daif masih di atas jalan dan diluluskan oleh Puspakom, seperti mana lori dan bas yang berasap tebal masih lepas bebas di jalan raya biar pun perlu menjalani pemeriksaan setiap enam bulan?

9. Selebihnya kerajaan juga perlu memikirkan bahawa majoriti pemilik kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas ini tinggal di luar bandar. Mereka bukan sahaja berpendapatan rendah malah tinggal jauh dari Puspakom.

10. Untuk ke bandar-bandar utama untuk mengadakan pemeriksaan di Puspakom dan mengeluarkan bayaran antara RM 40 - 60 tentulah merupakan satu bebanan.

11. Ramai juga yang tertanya-tanya inikah cara kerajaan BN mahu membalas sokongan kuat pengundi luar bandar dalam pilihan raya lalu?

12. Saya tidak fikir pembuat polisi mengambil kira isu penduduk luar bandar ini. Mungkin kerana ternampak beberapa kereta buruk di dalam bandaraya Kuala Lumpur maka ada pegawai tertentu membuat saranan ini.

13. Justeru kajian semula perlu dilakukan ke atas keputusan ini. Jika mahu dilaksanakan juga saya cadangkan agar kerajaan menanggung kos pemeriksaan kereta ini atau mengenakan bayaran minima antara RM 5 - 10.

14. Pemeriksaannya pula hendaklah setiap 5 tahun bukannya setiap tahun. Ini akan mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah.

Untuk melaksanakan sesuatu dasar bagi manfaat semua biarlah ibarat menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan selerak.

P/s : Diharap kalian bolehlah berkongsi pendapat masing2 berkenaan petikan ini & dasar2 baru yang telah diusulkan oleh Najib dalam tempoh yang begitu sesingkat ini.

Tiada ulasan: